80 sertai Bengkel Bilal Muda



Seremban: Seramai 80 remaja dan belia dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Paroi menyertai Bengkel Bilal Muda 2020 di Masjid Bandar Baru Senawang, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, program kali pertama diadakan itu mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (PPBHNS) dan Pusat Khidmat Dun Paroi.

Beliau berkata, peserta berusia antara 11 hingga 25 tahun diberi bimbingan oleh Pegawai Agama Masjid Negeri, Ahmad Shahir Mohd Shah dan Muazzin Muda Masjid Negeri, Saiful Hamzah.

"Idea mengadakan program ini timbul selepas melihat ada keperluan melahirkan bilal atau muazzin selain tawaran atau minat ditunjukkan daripada golongan muda.

"Jika sebelum ini kita didedahkan dengan program Imam Muda, kami rasa ada keperluan melahirkan bilal muda dan tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan apabila 80 orang mengambil bahagian berbanding sasaran 50 peserta.

"Mereka diberikan bimbingan dari segi sejarah azan ketika zaman Rasulullah SAW selain kaedah latihan sebutan azan yang betul, kawalan suara dan lagu," katanya.

Mohamad Taufek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri berkata, melalui bimbingan dan latihan serta pengiktirafan sijil diterima, peserta diberi peluang melaungkan azan di masjid dan meyakinkan jawatankuasa masjid terhadap mereka.

Menurutnya, beliau berharap program itu dapat diperluaskan di seluruh negeri supaya dapat melahirkan muazzin berilmu dan hebat serta mampu memberikan khidmat demi kepentingan syiar Islam," katanya.