Mahdzir terkejut keterangan saksi berkait ‘habuan’

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas seorang saksi dalam perbicaraan rasuah Rosmah Mansor menyatakan beliau pernah meminta habuan daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk mendapatkan projek solar bernilai RM1.25 bilion.

Bagaimanapun, Mahdzir dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambilnya kerana perlu mendapatkan transkrip dari mahkamah terlebih dahulu.

Beliau turut meminta orang ramai dan media tidak membuat andaian berdasarkan “sumber terhad”.

“Saya yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan semua fakta itu sah dan betul,” katanya sambil menambah semua pihak perlu meghormati mahkamah.


Semalam, seorang saksi memberitahu perbicaraan rasuah isteri bekas perdana menteri di Mahkamah Tinggi yang Mahdzir meminta 20% daripada projek solar sekolah Sawaran bernilai RM1.25 billion atas usahanya mendapatkan kontrak bagi syarikat itu.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, yang pernah menjadi konsultan Jepak, berkata jumlah itu dikurangkan kepada RM60 juta atau RM1 juta setiap bulan bagi tempoh 5 tahun mulai 2016.

“Wang ini (RM60 juta) akan dibayar melalui Md Fuad Yassin, proksi Mahdzir,” katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader.

Rayyan bagaimanapun berkata, berdasarkan pengetahuannya, rakan perniagaannya, Saidi Abang Samsuddin, hanya membayar RM50,000 untuk penginapan hotel perwakilan Umno Bahagian Padang Terap, Kedah, ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Mahdzir ialah ketua bahagian itu dan ahli Parlimen bagi kawasan berkenaan.

Mahdzir berkata, beliau “terkejut” dengan keterangan Rayyan kerana beliau sudah menafikan dakwaan meminta atau menerima sebarang rasuah daripada Jepak di mahkamah ketika beliau dipanggil memberi keterangan sebagai saksi untuk kes sama.

“Saya terkilan dengan penulisan yang saya baca. Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejas dan memburukkan imej serta reputasi saya di mata rakyat.

“Penulisan ini memberi kesan tidak elok kepada pekerjaan yang diamanahkan kepada saya.”